Monday 24 November 2014

Makanan Untuk Kesihatan Jantung Anda



MAKANAN UNTUK MENDAPATKAN JANTUNG YANG SIHAT


Makanan adalah faktor yang amat penting untuk kesihatan jantung. Makanan yang betul dan sihat boleh mencegah sakit jantung sehingga 80% menurut sesetengah kajian sains. Untuk mencegah mendapan kolesterol pada saluran darah dan mencegah plak kolesterol yang menyumbatkan saluran darah maka beberapa jenis makanan yang saya senaraikan dibawah amat baik untuk diamalkan sebagai sebahagian dari pemakanan seharian kita.

1.      Makanan berserat penuh (Whole Grains)

Makan berserat penuh seperti oat, barli, beras perang, roti perang (wholemeal) bleh mengurangkan risiko saluran darah tersumbat. Makanan berserat penuh mengandungi tiga komponen utama iaitu bran, germ dan endosperm. Bahagian brans dan germ adalah paling berkhasiat kerana mengandungi serat, vitamin, mineral, anti oksidan dan lemak sihat. Bahagian endsperm adalah bahagian yang mengandungi kanji dan protin. Apabila ketiga-tiga lapisan ini berada dalam makanan berkarbohidrat yang kita makan, maka ia dipanggil berserat penuh atau ‘whole grain’.
Kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition (2007) menunjukkan kaitan yang kuat diantara pemakananyang tinggi dengan ‘whole-grain’ dengan kesihatan dinding saluran darah (arteri). Dalam kajian ini ketebalan dinding saluran darah karotid (intimal medial thickness) diukur dikalangan peserta yang makan makanan berserat penuh dan kajian ini menunjukkan risiko atherosclerosis (pemendapan kolesterol pada didnding saluran darah) adalah rendah.
Satu lagi kajian yang dijalankan oleh Harvard University dalam kajian Nurse’s Health Studywanita yang makan makanan berserat penuh setiap hari didapati mempunyai mempunyai 30% risiko yang lebih rendah mendapat serangan jantung berbanding dengan wanita yang hanya makan kurang dari satu hidangan makanan berserat penuh dalam seminggu.

2.      Walnuts

Kacang walnut adalah sejenis kekacang yang amat berkhasiat untuk kesihatan jantung kerana kandungan omega 3 yang tinggi terutama dari jenis ALA (alpha linolenic acid). Banyak kajian telah membuktikan bahawa omega 3 amat baik menurunkan risiko penyakit jantung.
Dalam satu kajian di Barcelona yang diterbitkan dalam Journal of American College of Cardiology pada tahun 2006 menunjukkan dengan menambahkan walnut dalam makanan yang kaya dengan lemak mencegah kesan negatif lemak tepu keatas saluran darah dan mencegah penyumbatan plak kolesterol dalam saluran darah. Dalam kajian ini , makanan yang diberi juga mengandungi minyak zaitun. Lemak yang terkandung dalam walnut dan juga minyak zaitun didapati boleh mengurangkan kebengkakkan atau inflammasi saluran darah dan mencegah pembentukan plak kolesterol.

3.      Anggur Hitam/Merah

Anggur hitam atau merah didapati boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dengan membantu saluran darah dijantung menjadi longgar dan melancarkan pengaliran darah didalamnya. Kajian terbaru mendapati anggur ini mengandungi sebatian anti oksidan iaitu ‘resveratrol’ terutama dalam biji dan kulitnya.
Anggur juga mengandungi serat yang tinggi pada bahagian kulitnya. Serat juga menyebabkan paras kolesterol turun terutamanya LDL  dan meningkatkan paras kolesterol baik HDL. Kajian di Sepanyol yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Nutrition pada tahun 2008 menunjukkan serat daripada anggur adalah lebih baik daripada serat dari oat dan psyllium untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.
Satu kajian yang dijalankan di University of Wisconsin, USA yang diterbitkan dalan jurnal perubatan Circulation (1999) menunjukkan bahawa dengan makan anggur atau jus anggur setiap hari meningkatkan keanjalan saluran darah dan mengurangkan kadar kolesterol LDL teroksida dan ini akan mengurangkan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah jantung.
Anggur hitam juga mencegah sel darah  platelet daripada  menjadi melekit dan mengurangkan ia menjadi hyperaktif  yang menyebabkan ia melekat pada dinding  dan mencegah pembentukan darah beku yag boleh menyebabkan saluran darah jantung tersumbat. Kajian ini telah dibentangkan persidangan American College of Cardiology, Annual Scientific Session yang ke 46 pada tahun 1997.

4.      Epal

Epal juga mengandungi anti oksidan yang tinggi yang boleh mencegah penyakit jantung. Sebiji epal mengandungi anti oksidan seumpama vitamin C 1500mg. Epal juga mengandungi pelbagai anti oksidan yang lain seperti quercetin, catechin, phloridzin, plyphenol danchlorogenic acid. Kesemua anti oksidan ini amat baik untuk kesihatan jantung dan boleh mencegah saluran jantung dari tersumbat akibat plak kolesterol sebagaimana yang dilaporkan dalam Nutrition Journal, pada May 2004.
Kajian terbaru yang dibentangkan dalam persidangan perubatan Experimental Biology, 2011 di Washington, USA menunjukkan makan epal setiap hari boleh menurunkan paras LDL kolesterol, C-reactive Protein dan Lipid hydroperoxideyang merupakan penunjuk (markers) untuk kesihatan saluran darah jantung.
Epal juga kaya dengan serat boleh larut yang dinamakan pectinyang membantu menurunkan paras kolesterol.

5.      Teh hijau

Teh hijau adalah minuman yang sangat baik untuk kesihatan jantung dan mencegah saluran jantung tersumbat oleh plak kolesterol. Ia mengandungi sebatian anti oksidan yang amat tinggi yang dipanggil epigallocatechin (EGCG). Sebatian ini didapati amat baik untuk kesihatan jantung dan mencegah serta membalikkan pembentukan plak kolesterol dalam saluran darah jantung kita.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation (May, 2004) merumuskan bahawa EGCG boleh mencegah pembentukan plak kolesterol.
Satu lagi kajian yang dijalankan di Greece yang diterbitkan dalam Journal of Cardiovascular Prevention and Rehabilitation (June,2008)menunjukkan minum teh hijau akan menambahkan diameter saluran darah sehingga 4% dalam tempoh 30 minit selepas ianya diminum. Ini adalah kerana sebatian flavonoids dalam Teh Hijau meningkat pengaliran darah dengan menyebabkan sel-sel pada dinding saluran darah menjadi relaks dan mudah mengembang.

Terdapat pelbagai makanan dan buah-buahan yang boleh mencegah pembentukan plak kolesterol dan mencegah penyakit jantung. Dalam ruangan yang terhad ini hanya beberapa jenis yang penting dapat saya tulis. Amalkanlah  makanan yang berserat tinggi dan kaya dengan anti oksidan untuk kesihatan jantung yang baik.Insyaallah

Sumber: Blog Dr. Norman







No comments:

Post a Comment

Silalah beri comment anda. Sebarang pertanyaan mengenai produk dan order amatlah dialu-alukan. Terima kasih.